LMCR
2243 KEMAHIRAN MENULIS
Jurnal Refleksi:
Tahap Penerimaan
Masyarakat Terhadap Produk Kosmetik yang Baharu Diperkenalkan
DISEDIAKAN UNTUK:
DR. MAHARAM BINTI MAMAT
Disediakan
Oleh:
Shah
Mohd Akmal bin Abdul Halim
Mohd
Hadi bin Mazlan
Siti
Nur Afiqah binti Basiran
Nur
Hidayah binti Hairul Azman
Filzah
Izzaty binti Fadil
Siti
Kharunisa binti Mohd Yusri
PENDAHULUAN
Penulisan jurnal rekfleksi ini adalah untuk merumus dan melaporkan segala
kerja yang dilakukan oleh setiap ahli kumpulan kami bagi melaksanakan kajian
kumpulan kami yang bertajuk “Tahap Penerimaan Masyarakat Terhadap Produk
Kosmetik yang Baru Diperkenalkan”.
Melalui jurnal refleksi ini juga kami menyatakan beberapa
refleksi yang kami peroleh sepanjang melaksanakan kajian ini. Di dalam refleksi
ini juga kami menceritakan peristiwa-peristiwa yang telah berlaku sepanjang
kajian ini dilakukan. Kajian kami ini sebenarnya mempunyai beberapa cabaran dan
rintangan sebelum kami berjaya menamatkan kajian kami. Setiap cabaran dan
rintangan yang dilalui itu berjaya kami lepasi namun terdapat beberapa
peristiwa dan cerita disebalik kejayaan tersebut. Tanpa usaha yang
bersungguh-sungguh daripada setiap ahli kumpulan ini, mungkin kajian ini tidak
dapat disiapkan dalam tempoh masa yang ditetapkan.
Kajian ini sebenarnya merupakan
hasil usaha kerjasama daripada semua ahli kumpulan dan juga dengan bantuan pensyarah
subjek ini, Dr. Maharam binti Mamat yang merupakan pakar dan berpengalaman luas
dalam bidang proses menulis ini. Seterusnya, kami akan menceritakan pengalaman
pembelajaran yang diperolehi sepanjang sesi pembelajaran subjek ini.
Sebenarnya, terdapat segelintir daripada ahli kumpulan kami yang kurang mahir
dalam melakukan kajian berkumpulan seperti dan ini merupakan kajian pertama
yang dilakukan oleh mereka Namun, ini bukan halangan kepada kami untuk
menyiapkan kajian ini dengan penuh komitmen.
Refleksi ini ditulis juga adalah
untuk menyatakan kelemahan dan kekuatan yang kami dapati sepanjang melakukan
kajian ini. Secara jujurnya, kami sebagai ahli kumpulan sebelum ini kurang
mengenali antara satu sama lain. Melalui subjek ini lah kami dipertemukan dan
telah menjadi ahli kumpulan untuk tugasan ini. Sudah tentu pada mulanya sukar
untuk kami mencari rentak permulaan untuk bekerja dalam satu kumpulan. Namun,
selepas beberapa kali melakukan perbincangan, kami mula memahami antara satu
sama lain.
Akhir sekali, melalui refleksi ini juga kami akan
memberikan beberapa langkah dan cadangan bagi memperbaiki tugasan ini pada masa
hadapan. Walaupun ini merupakan kajian
pertama kami berkaitan dengan produk kecantikan, namun kami mendapati terdapat
beberapa langkah yang lebih pro aktif boleh diambil bagi memastikan kelancaran
tugasan ini serta berjaya mencapai matlamat yang ditetapkan oleh penyarah.
PERISTIWA-PERISTIWA PENTING SEPANJANG MENJALANKAN KAJIAN
Mengambil subjek kemahiran menulis sememangnya telah
menjadi sasaran setiap ahli kumpulan kami sejak di tahun satu lagi atas minat
yang mendalam dalam bidang penulisan. Namun sehingga kini baru kami berpeluang
untuk mengambil subjek yang cukup menarik ini. Dalam konteks pembelajaran di
dalam kelas sememangnya cukup menarik lebih-lebih lagi dikurniakan seorang
pensyarah yang boleh dikatakan sporting,
kelakar dan mampu menyampaikan pengajaran secara berkesan. Selain itu, Dr.
Maharam juga seorang pensyarah yang sangat membantu pelajar-pelajarnya dalam
menyiapkan tugasan dan sentiasa mencuri peluang untuk membalas pertanyaan yang
dibuat oleh pelajar-pelajarnya walaupun dalam keadaaan yang cukup sibuk.
Pada tanggal 30 September 2015, pada waktu petang
tersebut merupakan hari yang sangat lapang bagi kami kerana tiada kelas di
waktu paginya tambahan pula baru bermulanya semester baru maka tiada pula kerja
yang perlu dibuat. Sebaik sahaja membuka pintu kelas saya melihat seorang
wanita yang sedang mengajar. Tidak semena-mena dalam hati kecil ini berbisik
“oh ini lah Dr. Maharam”. Lalu saya pun mencari tempat duduk dan mendengar
input yang disampaikan olehnya. Tiba-tiba saya terasa seperti ditampar bertubi-tubi,
bagai nak gugur jantung, hati remuk seperti dipijak-pijak oleh sekawan gajah di
saat saya terdengar bahawa subjek ini memerlukan aktiviti penjualan. “Aduhhhh !
payah lah gini”. Namun kini saya sedar bahawa penjualan produk-produk tersebut
mampu memberi pelbagai kemahiran terutamannya kemahiran dalam berkomunikasi di
samping kemahiran menulis kerana perlu memberikan ayat-ayat berbunga-bunga
berupa pujukan di samping ugutan untuk menarik pembeli.
Pada petang hari tersebut juga
membuatkan kami sekumpulan mengenali lebih rapat antara satu sama lain.
Sememangnya kami sekumpulan sudah mengenali sesama sendiri, namun kami tidak
pernah bekerja sebagai satu kumpulan. Dalam konteks penjualan, pada mulanya kami
terfikir untuk terus mengiklankannya di dalam media sosial, namun memikirkan
yang barangnya masih belum diperoleh, kami telah membatalkan niat itu. Pada
permulaan itu, kami telah fokus untuk mencari responden bagi menjawab soal
selidik kami terlebih dahulu.
Disebabkan kami lambat untuk
memperoleh produk Argan Oil tersebut, kami telah sebulat suara membuat
keputusan untuk mencari pelanggan terlebih dahulu. Pada cuti pertengahan semester
lalu, kami telah memikirkan beberapa medium untuk kami pasarkan Argan Oil ini. Kami
telah merangka dan membina ayat yang bersesuaian untuk menarik minat orang ramai
membeli produk argan oil tersebut. Kami juga dengan gigihnya telah meletakkan ‘emoji-emoji’
yang menarik agar mereka yang membacanya tidak berasa hambar. Kami telah
meminta pendapat daripada rakan-rakan kumpulan yang lain, namun mereka seperti
tidak menghargai usaha kami. Kebanyakan mereka tidak memberi sebarang respon
kepada pertanyaan kami apabila kami bertanyakan mereka sama ada ianya bagus
atau tidak. Kami sedikit berasa sedih, namun kami tetap dengan pendirian ini untuk
mencanangkan ayat yang telah kami reka bersama itu.
Kami telah menghantarkannya bersama
gambar Argan Oil yang diperolehi di laman sesawang ke laman sosial seperti
Facebook, Instagram, Twitter dan WeChat. Selepas mempromosikan Argan Oil di
laman sosial, kami mendapat beberapa respon daripada kenalan kami di media
sosial. Ada yang seolah-oleh memerli kami
kerana menjual produk kecantikan, ada yang menulis komen yang tiada
kaitan dengan produk tetapi terdapat juga insan mulia yang begitu beria untuk
membeli produk ini. Selain itu, terdapat juga ahli kumpulan kami yang diganggu
oleh individu yang tidak dikenali. Individu itu dilihat tidak begitu berminat
terhadap produk tersebut tetapi lebih cenderung untuk menyoal tentang hal
peribadi ahli kumpulan kami. Ini disebabkan oleh dalam promosi yang dilakukan
itu, kami telah memaparkan nombor telefon wakil kumpulan kami untuk dihubungi
jika ada yang berminat untuk membeli. Namun terdapat individu yang menyalah
guna fungsi itu dengan cuba untuk memikat ahli kumpulan kami.
Dalam proses kutipan data untuk
kajian kami pula, terdapat juga beberapa peristiwa yang dapat kami ceritakan
disini. Memandangkan skop kajian kami dijalankan di sekitar Bandar Baru Bangi.
Sebenarnya skop kajian kami ini lebih sukar dan meluas jika ingin dibandingkan
dengan skop kajian yang hanya mengfokuskan sekitar Universiti Kebangsaan
Malaysia sahaja. Oleh itu, kami mensasarkan untuk mengedarkan borang soal
selidik di dua taman perumahan dan di pusat membeli belah iaitu di Bangi Getway
dan Econsave.
Agak susah untuk mendapatkan
responden dalam keadaan di pusat membeli belah, contohnya di pusat membeli
belah kerana dengan ramainya pengunjung-pengunjung dan tak semua boleh menjawab
soal selidik tersebut kerana mereka ingin cepat. Ada yang menjawab dan ada yang
juga yang seperti berpura-pura tidak nampak kami. Dan lebih teruk lagi ialah
ada seorang mak cik yang menganggap kami sebagai pelajar sekolah menengah yang bekerja
separuh masa untuk menjual produk. Selepas sahaja mak cik tersebut beredar,
kami sekumpulan ketawa kerana dianggap sebagai pelajar sekolah menengah
sedangkan kami sudah berusia 20-an. Namun beberapa orang ahli kumpulan kami
suka digelar pelajar sekolah kerana baginya dia dilihat lebih muda berbanding
usia sebenarnya.
Selain itu, pengalaman mengedarkan borang soal selidik di
taman perumahan juga merupakan pengalaman yang berharga. Petang tersebut cuaca
sangat panas, menghauskan, menjanggalkan, melaparkan dan segala-galanya yang
negatif tiba-tiba datang tanpa diundang. Lalu, seolah-olah rezeki datang bergolek
apabila kami ternampak sekumpulan kakak-kakak sedang berkumpul di hadapan rumah
mereka. Kami pun apa lagi dengan sepantas kilat malah lebih pantas lagi pergi
mendapatkan mereka dengan meminta mereka supaya menolong kami mengisi borang
soal selidik. Sedang rancak kami berbual dengan mereka tiba-tiba di jemput pula
kami minum dan makan kuih-muih yang ada. Kami yang dalam keadaan lapar dan
dahaga terus makan tanpa segan silu lalu diperhatikan dengan jelingan
kakak-kakak tersebut. Selepas lebih kurang 10 minit kami pun beredar.
Lantas, kami bergerak menuju ke lokasi yang menjadi
tumpuan orang iaitu Econsave. Tiba-tiba kami sekumpulan masing-masing malu pula
untuk memberikan borang-borang tersebut, namun salah seroang ahli kumpulan kami
menyedapkan hati ahli yang lain dengan berkata “ala korang buat muka tebal je,
bukan ada orang kenal sangat kita kat sini. Kita semua bukan rumah kat sini pun
lagipun kita nak mintak tolng isi borang soal selidik je bukan suruh masuk MLM
pun”. Lalu seorang ahli kumpulan kami dengan bersemangat terus memberi kepada
seorang abang yang sedang menjaga gerai air namun ditolak. Ternyata cubaan
pertama ahli kumpulan kami gagal. Kemudian dia berkata “aduh malunya, tolong
sikit pun tak boleh memang aku boikot kedai abang ni lepas ni”. Kemudian selepas
beberapa cubaan, Alhamdulillah kami telah berjaya mendapatkan responden.
Pada 20 November 2015, kami telah berkumpul di
perpustakaan untuk mengumpul dan menganalisis semua data yang diperoleh. Semua
maklumat tersebut diperolehi daripada borang soal selidik yang telah kami
edarkan. Perbincangan ini diadakan dengan kehadiran semua ahli kumpulan tanpa
sebarang pengecualian. Selepas mengumpul semua maklumat tersebut, kami tidak
sempat menganalis data kajian. Oleh itu, kami bersetuju untuk membahagikan
tugas kepada setiap ahli kumpulan untuk disiapkan dalam tempoh tiga hari. Walaupun
pada mulanya ada dalam kalangan kami mengatakan tempoh tiga hari tidak
mencukupi kerana data yang diperolehi terlalu ramai iaitu seramai 100 orang
responden. Namun, atas toleransi ketua kumpulan kami dia melanjutkan tempoh
menyiapkan tugasan yang diberi kepada lima hari dan dengan kerjasama serta
komitmen setiap ahli kumpulan kami berjaya menyiapkan tugasan tersebut beserta
slide pembentangan yang akan dibentangkan pada 28 November 2015.
PENGALAMAN PEMBELAJARAN YANG DIALAMI
Melalui perlaksanaan kajian ini, terdapat pelbagai
perkara yag telah kami pelajari. Antaranya, kami telah mempelajari nilai
bekerjasama. Sepanjang mempelajari subjek ini kami mendapati bahawa perkara
yang paling penting sekali dalam menyiapkan tugasa berkumpulan ini ialah
kerjasama. Tanpa kerjasama daripada setiap ahli kumpulan, sesuatu tugasa itu
akan menjadi sukar malahan mungkin tugasan ini tidak dapat disiapkan langsung
jika tiadanya semangat kerjasama. Setiap ahli kumpulan kami telah memberikan
kerjasama yang sepenuhnya dan ini membolehkan kami menyiapkan kajian ini tanpa
sebarang masalah dan dalam tempoh masa yang ditetapkan. Kami telah bekerjasama
dalam mengedarkan borang soal selidik kajian kami di sekitar Bandar Baru Bangi.
Jika tiada kerjasama dalam kalangan ahli kumpulan kami, sudah tentu kami tidak
akan dapat untuk mencari 100 orang responden bagi menjawab soalan kajian kami.
Selain itu, kami juga telah mempelajari sikap bertanggungjawab.
Sikap ini penting kerana tanpa rasa tanggungjawab, sesuatu tugas itu sukar
untuk diselesaikan. Melalui kajian kami, nilai bertanggungjawab dalam diri
setiap ahli kumpulan semakin meningkat. Ini mungkin disebabkan oleh rasa
tanggungjawab kami sebagai ahli kumpulan, jadi kami perlu untuk memberikan
komitmen kepada tugasan ini. Walaupun terdapat segelintir daripada ahli
kumpulan kami yang sibuk dengan program yang disertai, namun atas rasa
bertanggungjawab tugasan yang dibahagikan itu juga berjaya disiapkan. Pelajar
perlu pandai dalam menguruskan masa agar segala tugasan yang diberikan dapat
diselesaikan.
Seterusnya, sepanjang pelaksanaan kajian ini kami turut
mempelajari kepentingan bertolak ansur atau bertoleransi. Tanpa sikap
toleransi, tugasan kumpulan ini mungkin menjadi lebih sukar kerana akan
wujudnya pertelingkahan apabila timbul perbezaan pendapat dalam kalangan ahli
kumpulan. Setiap ahli kumpulan perlu menerima dan menghormati pendapat lain dan
bersedia untuk mendapat kritikan daripada orang lain juga. Sebagai contoh,
apabila ada ahli kumpulan kami yang mengatakan tidak sempat tempoh yang
diberikan, jadi kami pun mengalah dan bersikap toleransi dalam hal ini bagi
memudahkan tugasan ini.
KELEMAHAN SEMASA MENJALANKAN KAJIAN
Sepanjang proses
perlaksanaan kajian kami, kami telah berjaya mengenalpasti beberapa kelemahan
yang boleh kami perbaiki dalam kumpulan kami. Sebenarnya kelemahan-kelemahan
ini tidak terlalu memberikan impak yang besar kepada kajian kami.
Kelemahan-kelemahan yang kami hadapi hanyalah bersifat kecil atau minor.
Antaranya, kesukaran untuk mendapatkan responden. Dari awal lagi sebenarnya
kami mempunyai masalah untuk mendapatkan responden kerana ianya melibatkan
orang ramai di sekitar Bandar Baru Bangi. Memang tidak dinafikan ada yang
terbuka dalam membantu menjawab soalan kajian namun terdapat juga segelintir
yang langsung tidak memberikan kerjasama kepada kami untuk menjawab borang soal
selidik. Ini yang menyukarkan kami untuk mendapatkan data untuk kajian kami.
Selain itu, kami juga mengalami masalah dari segi masa.
Disebabkan ahli kumpulan kami yang berbeza program jadi kami sering mengalami
masalah untuk menetapkan waktu bagi mengadakan perbincangan. Sebagai contoh,
apabila sesuatu waktu dan tarikh untuk perbincangan itu telah ditetapkan tetapi
terdapat ahli kumpulan kami yang tidak dapat hadir disebabkan mereka mempunyai
kelas ganti dan sebagainya. Jadi kami terpaksa memilih hari yang sesuai di mana
semua ahli kumpulan dapat hadir bersama bagi membincangkan perjalanan tugasan
berkumpulan kami. Namun kami berjaya menyelesaikan masalah ini dengan adanya
semangat kerjasama dan toleransi dalam kalangan ahli kumpulan kami.
KEKUATAN
Selepas berjaya mengenalpasti kelemahan-kelemahan
kumpulan kami, kami juga telah mengenalpasti beberapa kekuatan kumpulan kami.
Kekuatan kumpulan kami adalah dari segi geografi. Lima daripada ahli kumpulan
kami adalah daripada kolej kediaman yang sama dan hanya seorang sahaja daripada
kami yang tinggal di kolej lain. Oleh itu, agak mudah bagi kami untuk
menetapkan lokasi perbincangan kumpulan kami. Dalam hal ini, kami tidak perlu menaiki
bas untuk mengadakan perbincangan. Kami sekumpulan juga berasal daripada fakulti
yag sama iaitu Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan. Ini secara tidak
langsung, memudahkan kami dan dapat mempercepatkan proses menulis laporan
kumpulan kami. Kami Seterusnya, ahli kumpulan kami juga datang daripada berbeza
latar belakang pendidikan. Beberapa ahli kumpulan kami sebelum ini tamat
sebagai pelajar STPM manakala yang lain daripada program Matrikulasi. Oleh itu,
kami dapat menggunakan titik perbezaan ini sebagai kekuatan kepada kumpulan
kami. Sebagai contoh, apabila bidang yang berkaitan dengan penulisan, ahli
kumpulan kami daripada STPM dapat membantu memberikan idea mereka kerana mereka
telah mempelajari beberapa teknik penulisan yang baik. Manakala bagi ahli
kumpulan lepasan Matrikulasi pula mereka membantu dalam menyumbangkan idea bagi
memasarkan produk Argan Oil dan juga cara untuk menganalis maklumat menggunakan
SPSS.
LANGKAH DAN CADANGAN UNTUK PENAMBAHBAIKAN
Langkah dan cadangan penambahbaikan yang kami cadangkan dalam
mengatasi kelemahan yang dinyatakan tadi. Untuk kelemahan di mana sukar
mendapatkan responden kami mencadangkan untuk selepas ini mengadakan kaedah
menjawab soal selidik secara online. Borang soal selidik melalui google form mungkin dapat membantu untuk
mendapatkan jumlah responden yang lebih ramai. Kaedah secara online ini juga sebenarnya menjimatkan
kos, masa dan tenaga kami dan juga responden. Responden tidak akan lagi
memberikan alasan yang mereka sedang sibuk mencari barang di pusat membeli
belah keran mereka boleh mengisi borang soal selidik secara atas talian.
Langkah-langkah dan cadangan penambaikan yang seterusnya
ialah kami ingin mengatasi masalah perbezaan pendapat di antara ahli kumpulan.
Kami bersetuju bahawa pemasalahan ini tidak dapat dielak apabila bekerja di
dalam kumpulan kerana semua orang mempunyai pendapat yang berlainan. Oleh itu,
kami berpendapat bahawa pemasalahan ini boleh diselesaikan sekiranya ahli
kumpulan meluangkan sedikit masa untuk berbincang dan mencari jalan tengah di
antara mereka supaya perbezaan pendapat tersebut dapat diatasi. Mungkin dengan
perbincangan ini masalah dapat diselesaikan.
PENUTUP
Secara ringkasnya kepada jurnal refleksi ini, kajian kami
yang bertajuk “Tahap Penerimaan Masyarakat Terhadap Produk Kosmetik yang Baru
Diperkenalkan”, telah banyak membantu kami dalam memperbaiki diri kami dalam
pelbagai aspek. Melalui kajian ini juga kami telah berjaya menjadi pelajar yang
mampu bekerja dalam satu kumpulan. Ini penting kerana bukan sahaja subjek ini
yang mempunyai tugasan berkumpulan malahan subjek lain juga mempunyai tugasan
berkumpulan. Selepas kajian ini, kami sudah memperoleh kemahiran untuk bekerja
dalam berkumpulan dan ini memudahkan kami untuk menyiapkan tugasan berkumpulan
dengan lebih baik selepas ini.
Seterusnya, kami merasakan
usaha dan penat lelah kami dalam menyiapkan tugasan ini telah membuahkan hasil apabila
ianya lengkap dan berjaya dihantar dalam tempoh masa yang ditetapkan. Malahan
kami juga berasa bangga selepas pembentangan kajian kami ini mendapat pujian
daripada pensyarah, Dr. Maharam binti Mamat. Ianya merupakan hasil daripada
kerjasama setiap ahli kumpulan kami. Selain itu, bantuan dan bimbingan daripada
pensyarah juga banyak membantu kami dalam menyiapkan program ini. Tanpa bantuan
daripada semua pihak kajian ini tidak dapat diselesaikan.
Akhir sekali, kami bersyukur kerana tugasan yang penuh
berliku ini berjaya diselesaikan dengan jayanya walaupun tidak dapat memenangi
hadiah kumpulan terbaik daripada Dr. Maharam. Oleh itu, kami berharap biarlah
hadiah daripada subjek ini yang boleh kami ingati selamanya dengan memperolehi
gred A atas usaha yang sepenuhnya diberikan ketika menyiapkan tugasan ini.
Akhir kata, jutaan terima kasih diucapkan kepada Dr. Maharam kerana telah
bersungguh-sungguh membantu kumpulan kami dalam menyiapkan tugasan ini kerana
tanpa beliau siapalah kami. Semoga ilmu-ilmu yang disumbangkan beliau dirahmati
Allah dan diberkati dunia dan akhirat. Kami akan panjangkan ilmu-ilmu ini
kepada orang lain yang memerlukan.
Maklumat tambahan: Tulisan berwarna biru serlahkan "keaslian" jurnal refleksi ini.
No comments:
Post a Comment